Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Ramadan lebih dari sekadar amalan jasmani

Mar 29, 2024 | 05:30 AM



Tanpa disedari, Ramadan sudah pun menjangkau setengah bulan.

Pada bulan suci ini, masjid-masjid serata dunia dihidupkan dengan pelbagai kegiatan beribadah, seperti solat tarawih, bacaan Al-Quran beramai-ramai dan pelbagai majlis agama.

Di Singapura, kita juga boleh lihat masjid dipenuhi jemaah daripada semua lapisan masyarakat, terutama bagi mendirikan solat tarawih bersama.

Semuanya hadir demi menyemarakkan semangat beribadah di bulan yang mulia ini.

Namun, tidak kurang juga mereka yang tidak berkesempatan untuk ke masjid.

Mungkin sibuk dan penat menguruskan tanggungjawab harian, mungkin juga tidak berpeluang untuk melakukan lebih daripada kebiasaan, terutama sekali golongan ibu.

Apakah mereka kerugian?

Sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang masih kecil, sering kali saya terasa ketinggalan untuk menyertai dan melakukan kegiatan beribadah di masjid terutama dalam Ramadan.

Tuntutan tanggungjawab sebagai ibu yang bekerja tidak memberi banyak ruang untuk golongan ini memberi tumpuan kepada ibadah sepenuhnya.

Namun, terdapat beberapa ayat Al-Quran serta hadis Nabi saw dengan kita diingatkan bahawa pengamalan Islam sebenarnya holistik dan merangkumi lebih daripada ibadah yang didirikan di tikar sembahyang.


Perbaharui niat

Nabi saw pernah bersabda:


“Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.” (HR Bukhari dan Muslim).


Niat merupakan maksud atau tujuan kita melakukan sesuatu perkara.

Antara keistimewaan niat di sisi Islam adalah ia membezakan sama ada sesuatu perbuatan itu perbuatan biasa ataupun amal ibadah.

Kebanyakan perkara yang kita lakukan setiap hari sudah menjadi kebiasaan dan rutin.

Seperti contoh, memasak untuk keluarga, keluar bekerja, menguruskan anak-anak, menziarahi dan menjaga ibu bapa.

Jika kita mula terasa bahawa kebiasaan harian kita ini tidak begitu bermakna lagi, itulah masa untuk kita merenungkan niat sebenar kita.

Niat yang sebenar adalah untuk mencapai keredaan Tuhan dalam segala perbuatan kita.

Kita diciptakan untuk menyembah Allah, seperti firman-Nya dalam Surah Azzariyat, ayat 56:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”


Memasang niat ini akan memberi nafas baru kepada setiap perkara yang kita lakukan.

Segala penat lelah kita bukan untuk mendapat pujian atau reda manusia.

Sebaliknya, kita hanya inginkan keredaan dan balasan baik daripada Allah.

Dengan niat suci ini, segala perbuatan harian kita bertukar menjadi ibadah dan boleh meraih pahala dengan izin-Nya.

Justeru, niat ibarat kompas yang membimbing kita untuk sentiasa melakukan yang terbaik.

Ia mampu memelihara kita daripada melakukan sebarang perkara keji.

Tetapkan set minda

Seterusnya, selain niat, umat Islam juga boleh memperbaharui perspektif atau penetapan set minda terhadap pekerjaan dan urusan harian.

Contohnya, jika kita sering melihat sesuatu perkara sebagai bebanan atau tanggungjawab yang memberatkan, mungkin kita sendiri akan terasa berat dan sukar untuk melaksanakannya dengan baik.

Namun, jika kita mengubah tanggapan dan menganggap tanggungjawab seperti menguruskan anak, pekerjaan dan juga urusan rumah tangga kita semuanya sebagai satu kurniaan yang diberi khas oleh Tuhan kepada kita, ia boleh menyuntik semangat baru ke dalam jiwa dan memberi kita kepuasan atau kegembiraan yang berbeza.

Penetapan set minda yang betul membolehkan kita menjadi lebih bahagia dan kekal tenang walau apa pun cabaran yang kita hadapi.

Pemikiran yang optimistik amat disarankan agama.

Nabi saw pernah bersabda:


“Sungguh ajaib urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya ada kebaikan baginya dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka itulah kebaikan baginya dan sekiranya dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka itulah kebaikan baginya.” (HR Muslim).


Jika kita sempat melakukan ibadah tambahan pada Ramadan, maka kita patut bersyukur.

Namun, jika kita sibuk dengan pelbagai urusan di rumah dan kerja sehingga tidak berpeluang ke masjid atau khatam Al-Quran, berfikiran optimistik boleh membantu kita menjalankan tugas dengan hati yang lebih tenang serta reda dan tidak merungut atau bersedih.

Amalan dicintai Tuhan

Kadangkala, kita bertungkus-lumus melakukan pelbagai ibadah sehinggakan kita tidak mampu menjalankan tanggungjawab dan urusan harian kita dengan baik.

Sebenarnya, Nabi saw menggalakkan umatnya supaya melakukan amalan mengikut kemampuan.


Ini kerana amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit, seperti yang disabdakan Baginda saw dalam hadis riwayat Bukhari.


Naluri manusia cepat jemu dan letih apabila banyak perkara baru ditambah pada masa yang sama.

Oleh itu, kita tidak diperintahkan untuk berlebih-lebihan dalam beribadah.

Sebaliknya, Tuhan mencintai amalan yang istiqamah, atau sedikit namun berterusan.

Bahkan, hadis di atas sebenarnya bermula dengan Sayidatina ‘Aisyah ra memberitahu Nabi saw tentang seorang wanita yang berlebih-lebihan dalam solatnya.


Jawapan Nabi menunjukkan Baginda tidak suka dengan perbuatan sedemikian.

Oleh itu, jikalau kesibukan kita menyebabkan kita tidak mampu atau tidak berkesempatan untuk menambah ibadah pada Ramadan, salah satu perkara yang kita boleh cuba pada bulan ini adalah untuk memulakan satu amalan yang tidak memberatkan dan boleh diulang setiap hari.

Seperti contoh, membaca sehelai atau dua helai muka surat Al-Quran, ataupun mengamalkan solat sunat seperti qabliyah, ba’diyah, tahajud, solat duha dan sebagainya, yang boleh diteruskan selepas Ramadan.


Selain amal ibadah, kita juga boleh mengambil peluang mengamalkan pelbagai kegiatan positif dan memanfaatkan, seperti melebihkan makanan sihat dan mempraktikkan rutin senaman baru yang ringkas.

Seperti yang ditekankan sebelum ini, pasanglah niat yang betul demi meraih ganjaran pahala.

Ketahui kemampuan diri

Di mana kita mampu, rebutlah peluang memperbanyakkan amal ibadah kerana segala pahala pada Ramadan digandakan.

Jika berkesempatan, bersegeralah ke masjid dengan keluarga mahupun bersendirian.

Lebihkan bacaan Al-Quran dan zikir-zikir selepas solat wajib.

Hadiri ceramah atau kelas agama demi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan.

Namun, penting juga untuk kita ketahui kemampuan diri masing-masing.

Adakah kita mampu melakukan amal ibadah tambahan di samping tanggungjawab harian kita dengan sempurna?

Jika keperluan harian lebih mendesak, maka sebaiknya kita memberi tumpuan kepada tanggungjawab kita pada keluarga, urusan rumah dan pekerjaan.

Ini tidak bermaksud kita kerugian, malah terdapat pelbagai amalan lain yang boleh kita lakukan di samping tanggungjawab harian.

Ini seperti memperbaharui niat untuk setiap perkara yang dilakukan, menunaikan ibadah wajib dengan sempurna dan jika kita berkesempatan, dirikan amalan sunah dengan baik.

Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya.

Semoga ia menjadi titik permulaan kepada sebarang perubahan positif untuk kita semua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >