Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hikmah di sebalik zakat

Mar 29, 2024 | 05:30 AM



Zakat merupakan salah satu tiang agama.

Setelah sekian lama, ia telah menjadi adat kita untuk menunaikan zakat pada Ramadan walaupun secara hukum, ia boleh dilakukan sepanjang tahun selagi mana ia telah mencukupi genap setahun atau haul serta syarat-syarat lain.

Namun, menunaikannya di bulan yang penuh berkat ini adalah satu cara bijak untuk merebut fadilat dan ganjaran yang berlipat ganda, sekali gus bulan ini menjadi saksi kita menunaikan kesemua rukun Islam kecuali manasik haji.

Kita lakukan syahadah lantas menyembah Allah swt, mendirikan pelbagai jenis solat antaranya tarawih, tahajud, witir dan sebagainya, melaksanakan ibadah berpuasa dan menunaikan zakat.


Zakat Satu Sistem Holistik

Perintah mengeluarkan zakat disebutkan di dalam beberapa ayat Al-Quran, antaranya dalam Surah At-Taubah ayat 60:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu adalah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”


Ayat ini bukan sahaja menyebut perintah zakat malah menggariskan juga golongan asnaf yang berhak menerima zakat.

Sebelum zakat dikuatkuasakan, sebahagian besar harta pada zaman itu hanya berlingkar dalam kalangan orang-orang kaya sehingga ia membuka ruang bagi kezaliman dan manipulasi terhadap golongan lain.

Lantas, tatkala zakat disyariatkan, golongan tersebut dijadikan penerima dan disediakan satu saluran sebagai sumber rezeki bagi kelangsungan hidup.

Justeru, kita boleh perhatikan secara asas pensyariatan zakat merupakan satu sistem ekonomi yang holistik, memastikan harta dapat dikongsikan dengan saksama.

Ia satu sistem yang diletakkan Allah swt bukan untuk menindas atau memeras hak mana-mana pihak.


Sebaliknya, ia satu sistem yang disusun indah mengikut fitrah manusia serta menjamin keseimbangan kehidupan manusia sepanjang zaman.

Konsep ‘Kita’ sebagai Satu Ummah

Bahkan, sistem zakat sendiri memberi penekanan terhadap konsep ‘kita’ sebagai satu ummah yakni wajar kita lihat ummah ini sebagai satu unit yang beramal secara kolektif.

Sebagaimana firman Allah swt dalam Surah At-Taubah ayat 71:


“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


Ini bermaksud dalam urusan agama ia bukan sehala, tanggungjawab individu, mahupun kepentingan diri sendiri bahkan juga merangkumi unsur dakwah iaitu mengajak kepada kebaikan dan menginginkannya bagi orang lain termasuk memastikan mereka yang menghadapi kesukaran diberi bantuan dan sebagainya.

Hasilnya, golongan yang melakukan demikian keseluruhannya akan mendapat rahmat Allah swt seperti dalam ayat sebelum ini.


Begitu juga dalam Surah Al-Fatihah ayat 5 yang menjadi ikrar kita bahawa:

“Hanya Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan hanya kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”


Menurut Tafsir Ibn Kathir, penggunaan “kami” dalam ayat ini mempunyai berbagai hikmah.


Beberapa yang boleh disebutkan adalah ia memupuk rasa kesatuan ummah dan sifat kebersamaan serta mengingatkan tentang tanggungjawab antara satu sama lain.

Hikmah di sebalik zakat

Sudut pandang ini selari dengan hikmah di sebalik zakat iaitu zakat menunaikan hak bersangkutan dengan hubungan manusia (hablum minannas).

Ia mampu memupuk sifat empati yang mendorong untuk saling berkongsi sesama yang lain.

Kesedaran akan hak orang lain dalam harta kita serta harta yang kita ada ini sekadar satu kurniaan bukan milik kita akan membuat seseorang tidak mungkin bersikap sombong dan menegah hartanya daripada disalurkan demi kebaikan orang lain.

Lalu jika kita renungkan, Allah swt meletakkan piawaian dengan adil dan penuh rahmah.


Yang diwajibkan hanyalah 2.5 peratus daripada harta sahaja.

Jumlah yang sangat nominal tetapi cukup untuk kita hayati hikmah-hikmah di sebalik zakat, mengambil manfaat dan melaksanakan tanggungjawab sesama Muslim.

Selain itu, ia memberi ruang kepada kita muhasabah diri sama ada terdapat unsur-unsur terlalu taasub dengan harta, kelalaian dan sebagainya lalu menjadi satu peluang baik untuk memperbaiki diri.

Kesimpulan

Setiap tuntutan yang diperintahkan oleh Allah swt adalah demi kebaikan dan kemaslahatan manusia sejagat.


Tiada satu pun yang sia-sia atau bertujuan untuk menindas.

Lantas, barang siapa yang benar-benar memahami tujuan zakat sama ada daripada pihak pemberi zakat atau penerimanya daripada golongan asnaf pastinya dapat bertindak seperti yang dirakamkan Allah swt dalam Surah At-Taubah ayat 59:


“Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, sambil mereka berkata: ‘Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami daripada limpah kurnia-Nya, demikian juga Rasul-Nya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah’.”


Pemberi zakat menzahirkan kesyukuran dengan mengeluarkan sebahagian daripada hartanya.

Penerima zakat pula menzahirkan kesyukuran kerana dalam perintah Allah swt untuk zakat itu terdapat saluran peruntukan dan sumber rezeki bagi mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >