Dua perniagaan makanan di Wisma Geylang Serai (WGS) – Terang Bulan dan Penny University – yang dibuka lewat 2023 diharap dapat mendekati orang muda dan masyarakat Melayu/Islam ke pusat budaya Melayu Singapura itu di samping mewujudkan ruang inklusif untuk semua.
Pemilik Penny University, Encik Mouss Kamal, berkata beliau memutuskan untuk membuka cawangan di WGS kerana ingin memperkenalkan konsep kopi dan makanan yang dihidangkan kafe tersebut kepada demografi baru, selaras dengan visi pasukan pengurusannya untuk memberi tumpuan kepada masyarakat.
Bagi pemilik Terang Bulan pula, Cik Adita Tian Permata Sari, WGS merupakan tempat idaman bagi peniaga seperti beliau untuk membuka kafenya.
“Kawasan ini ramai masyarakat Melayu. Keluarga dan kawan dari Indonesia juga gemar singgah ke kawasan Geylang dan Joo Chiat. Malah, mereka juga akan menginap di hotel berdekatan WGS.
“Selain itu, setiap Ahad juga merupakan hari cuti pekerja migran dan mereka juga akan ke kawasan ini untuk berjumpa teman,” ujar Cik Adita.