Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

PM Lee: Asas kukuh terbina bagi generasi akan datang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Asas kukuh terbina bagi generasi akan datang

Dalam ucaptama terakhir sebagai Perdana Menteri, Encik Lee gesa warga beri sokongan penuh kepada pasukan pemimpin baru bagi cipta kisah S’pura seterusnya
May 01, 2024 | 04:53 PM



Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata beliau telah mempersiapkan sebuah pasukan pemimpin untuk menggantikan beliau dan mereka layak mendapat keyakinan dan sokongan rakyat, dan meminta semua warga bersatu menyokong pasukan itu untuk memastikan kejayaan negara.

Meskipun masa depan dipenuhi ketidaktentuan dan cabaran, Singapura telah membina asas yang kukuh bagi generasi masa depan terus menulis bab baru dalam kisah Singapura, kata Encik Lee dalam ucaptama Rapat Hari Pekerja terakhirnya sebagai Perdana Menteri pada 1 Mei.

Dalam ucapan perpisahan di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands itu, Encik Lee berkata beliau berasa “kepuasan dengan tugas yang selesai” sedang beliau bersiap sedia menyerahkan Singapura dalam keadaan yang baik kepada penggantinya, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 15 Mei.

“Saya telah melaksanakan tugas saya, dan saya amat gembira saya memilih laluan perkhidmatan awam ini,” kata Encik Lee kepada hampir 1,700 pemimpin kesatuan, rakan tiga pihak dan tetamu yang berdiri memberi tepukan gemuruh untuk beliau.







Encik Lee bagaimanapun berkata tanggungjawab memimpin sebuah negara bukanlah usaha hanya seorang individu, tetapi melibatkan usaha sebuah pasukan.

“Sokongan anda yang tidak berbelah bahagi telah membolehkan kita sampai ke sini, dengan negara dalam keadaan baik dan menuju ke arah yang betul,” kata beliau.

Encik Lee turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Menteri, Anggota Parlimen, ketua akar umbi dan kesatuan, perkhidmatan awam, gerakan pekerja, dan rakyat Singapura di atas kepercayaan, keyakinan dan sokongan mereka terhadap dirinya selama ini.

Dalam ucaptamanya, Encik Lee berkata beliau telah berusaha sepanjang kepimpinannya untuk terus membina kekuatan Singapura yang telah dibangunkan perdana menteri terdahulu seperti Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, dan Encik Goh Chok Tong.

Di bawah kepimpinan mendiang Encik Lee Kuan Yew, beliau dan pasukannya memajukan Singapura daripada sebuah negara dunia ketiga kepada dunia pertama dan meletakkan asas yang kukuh bagi generasi masa depan.

Mereka mewujudkan asas masyarakat berbilang kaum sebagai prinsip Singapura, dan menjadikan pemilikan rumah, pendidikan dan penjagaan kesihatan tersedia untuk semua.

Encik Goh pula menunjukkan bahawa kejayaan dan kemakmuran Singapura boleh dibawa lebih jauh dengan gaya berbeza bagi era yang berlainan.

Di bawah kepimpinannya, Singapura berkembang dan menjadi matang, lebih bertenaga dan terbuka selain menjadi lebih berdaya tahan dan padu.

Apabila Encik Lee menerajui pucuk pimpinan negara pada 2004, beliau berusaha untuk terus membangunkan kekuatan yang sudah dibina dan mempertingkat kehidupan semua dengan bekerja rapat dengan rakyat.

Sepanjang 20 tahun kepimpinannya, Encik Lee berkata Singapura telah menjadi lebih maju.

Antaranya, pelaburan dalam sektor berpotensi berkembang seperti bioteknologi, teknologi maklumat dan perkhidmatan kewangan telah membuahkan hasil.

Asas ekonomi pula dipelbagaikan sedang negara ini mendaki rantaian nilai daripada kilang ke penyelidikan dan pengembangan dalam farmaseutikal dan teknologi nano.

Di samping itu, mutu kehidupan rakyat Singapura bertambah baik, termasuk bagi golongan berpendapatan rendah.

Encik Lee berkata pemerintah membina estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru dan perumahan awam bermutu tinggi, dengan ruang hijau, sekolah, poliklinik dan kemudahan masyarakat.

Beliau memberi contoh kawasan Punggol yang dahulu dianggap ‘ulu’, tetapi kini merupakan sebuah estet perumahan yang bertenaga dan menarik yang didiami keluarga muda.

Sementara itu, kawasan perumahan lama juga tidak dilupakan, dengan program peningkatan seperti Program Peningkatan Rumah (HIP) dijalankan supaya estet tersebut diberi nafas baru dan sesuai bagi penduduk yang lebih senja.

Selain itu, pengangkutan awam juga telah bertambah baik, dengan sistemnya dipastikan ia mudah diakses, boleh dipercayai dan boleh dimampui semua.

Negara ini juga banyak melabur dalam sistem penjagaan kesihatan kelas pertama untuk menjadikannya mudah diakses dan mampu untuk semua.

Di samping itu, ia turut memberikan lebih banyak sumber ke dalam prasekolah dan penjagaan bayi selain mengubah sistem pendidikan agar ia dapat menawarkan laluan yang lebih pelbagai.

Menurut Encik Lee, sejak awal lagi, kebanyakan pencapaian Singapura bergantung pada kesatuan dan pekerja, dengan kerjasama antara kesatuan, majikan dengan pemerintah yang disokong kerjasama simbiotik antara Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) amat penting bagi kejayaan Singapura.

“Ia telah membolehkan kita mengembangkan ekonomi, mengharungi ribut ekonomi, dan mempertingkat kehidupan pekerja, termasuk dalam 20 tahun terakhir ini.

“Oleh itu, hari ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Gerakan Pekerja,” kata Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >