Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK

Inaki dan Nico tonggak harapan ATHLETIC BILBAO

LEGASI ADIK-BERADIK
DI LA-LIGA
RENTASI ISU WARNA KULIT
Apr 26, 2024 | 10:57 AM



Walaupun Nico Williams sering menghalang abangnya, Inaki Williams, daripada menonton perlawanan peringkat remajanya di akademi Athletic Bilbao, Inaki yakin adiknya boleh menjadi pemain istimewa.

Inaki merupakan contoh bagi adiknya. Beliau membantu membesarkan Nico sementara ibu bapa mereka bekerja keras untuk menampung kehidupan keluarga.

Beliau juga membuka laluan bagi adik serta kanak-kanak pendatang lain untuk mewakili kelab di mana dari sudut sejarahnya, hanya menurunkan pemain yang dilahirkan atau dibesarkan di Negara Basque sahaja, wilayah autonomi di Sepanyol.

Inaki, 29 tahun, bukanlah pemain warisan Afrika pertama yang mewakili kelab Athletic. Rekod tersebut dipegang oleh Jonas Ramalho, yang dilahirkan oleh ayah berketurunan Angola dan ibu berketurunan Basque, pada 2011.

Inaki adalah pemain kulit hitam pertama bertapak di San Mames (nama kawasan Athletic Bilbao). Beliau membuat lebih daripada 300 penampilan La Liga, termasuk 251 penampilan berturut-turut, sesuatu yang belum pernah dicapai oleh sebarang pemain sebelum ini.

Inaki menyifatkan Nico, yang berusia lapan tahun lebih muda daripadanya, “kian menonjol dalam arena bola sepak”, dan perasaan gemuruh yang dirasakan adiknya boleh menjadi semangat untuk merealisasikan impian zaman kanak-kanak beliau untuk beraksi di pentas terbesar bersama abang, mentor dan penjaganya.

“Sebagai seorang abang, saya bangga melihat perkembangannya, melihat bagaimana beliau berkembang sebagai seorang pemain. Beliau tidak mempunyai siling,” kata Inaki.

“Saya di sini untuk membantu, mengajar dan memberikan semua yang beliau perlukan.”

KELUARGA TINGGALKAN GHANA
DEMI KEHIDUPAN LEBIH BAIK

Perjalanan mereka bermula sudah sekian lama, malah jauh dari Bilbao.

Ketika itu, ibu mereka, Maria, sedang sarat hamil dengan Inaki dalam kandungan apabila beliau meninggalkan Ghana bersama suaminya, Felix, demi mencari kehidupan yang lebih baik.

Pasangan itu merentasi sebahagian gurun Sahara dengan berkaki ayam. Inaki hanya mengetahui kisah penuh mereka ketika beliau berumur 20 tahun.

Beliau mengetahui bapanya mempunyai masalah pada tapak kakinya, tetapi tidak menyangka pasir yang dipijak itu adalah puncanya.

Felix dan Maria berjaya sampai ke wilayah Sepanyol di Afrika Utara, Melilla, namun ditahan pengawal ketika mencuba melompat pagar sempadan.

Seorang peguam menasihatkan mereka supaya berbohong, mengatakan bahawa mereka berasal dari kawasan peperangan di Liberia dan ingin meminta perlindungan politik.

Peguam tersebut meminta bantuan di Bilbao daripada seorang paderi Katolik, Inaki Mardones, yang bertemu pasangan itu di stesen kereta api Abando ketika Maria hamil tujuh bulan.

Beliau berusaha mendapatkan sebuah apartmen buat mereka dan membawa mereka ke hospital untuk kelahiran Inaki.

Nama Inaki diinspirasikan daripada nama beliau.

BERMULA KISAH DI ATHLETIC BILBAO

Kehidupan di Sepanyol bukanlah mudah bagi keluarga itu. Mereka diberi perumahan awam di Pamplona, dan melakukan apa jua pekerjaan yang mereka mampu.

Felix berpindah ke London bekerja di lawang putar di Stamford Bridge Chelsea sementara Inaki – yang masih kanak-kanak – membantu ibunya membesarkan Nico di Sepanyol.

Ayah mereka bekerja di London selama 10 tahun manakala Maria, Inaki dan Nico terus kekal di Sepanyol.

“Kami terpaksa menderita,” singkap Inaki, yang ketika itu membantu keluarganya daripada sudut kewangan dengan mengadili perlawanan bola sepak sebelum kebolehannya dalam sukan itu dikesan.

Ia sekali gus menamatkan usaha ayahnya untuk mencari kerja.

“Syukur kepada Tuhan kita dapat hidup bersama sekarang, menjalani kehidupan yang benar-benar baik.

“Ibu bapa saya dapat melihat anak-anak mereka berkembang, dan itulah sebab utama mereka datang ke sini. Semua yang kita lakukan adalah untuk ibu bapa kita.”


Inaki berada dalam radar Athletic selama beberapa tahun sebelum secara rasminya menyertai pertubuhan belia kelab itu pada usia 18 tahun.

Beliau membuat penampilan sulung bersama skuad senior dua tahun kemudian pada Disember 2014, memakai jersi merah dan putih seperti yang dipakainya semasa kecil.

“Inaki menjalani kehidupan yang sangat sukar ketika waktu mudanya,” jelas pengarah sukan Athletic, Mikel Gonzalez.

“Beliau tahu tanggungjawabnya, beliau seperti seorang adiwira. Ibunya sudah pasti akan bersetuju.”

Maria akan sentiasa berada di tempat perlawanan untuk menonton anak-anak lelakinya beraksi.

Apabila Inaki sudah memasuki skuad senior, Nico menyertai akademi Athletic pada usia 12 tahun dan mula menempa laluannya sendiri untuk menjadi terkenal.

“Sungguh luar biasa melihatnya bermain,” kata bekas ketua jurulatih Athletic, Gaizka Garitano.

“Sangat mudah. ​​Beliau sangat pantas, ketangkasannya luar biasa. Malah lebih hebat daripada abangnya.

“Ibu mereka adalah kunci dalam peningkatan mereka. Bukan sahaja dalam bola sepak malah dalam perwatakan mereka. Mereka menghormati orang lain...”

Pada awal April 2024, dua beradik itu mencapai satu lagi mercu tanda kejayaan apabila membantu Athletic memenangi trofi unggul yang pertama dalam tempoh 40 tahun apabila Athletic menewaskan Mallorca dalam perlawanan akhir Copa del Rey di Seville.

Kemenangan itu sekali gus mengabadikan sumbangan adik-beradik itu kepada Athletic.

ATHLETIC NADI BANGSA BASQUE

Athletic adalah sebuah institusi, dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan seharian.

Setiap bayi yang dilahirkan di rantau itu pada 2023 menerima bib untuk memperingati ulang tahun ke-125 kelab itu.

Begitu luas rangkaian remaja mereka sehingga mempunyai rakan kongsi dengan lebih daripada 160 kelab dan setiap pemain bola sepak peringkat bawah 11 tahun akan berlatih di pangkalan kelab di Lezama sekurang-kurangnya sekali dalam musim ini.

Seperti kata pengarah sukan, Gonzalez: “Lagu pertama yang anda pelajari ialah lagu Athletic. Jersi pertama yang anda miliki ialah jersi Athletic. Kali pertama anda ke stadium bola sepak ialah di San Mames.”

Selepas membuat penampilan dalam perlawanan persahabatan untuk Sepanyol pada 2016, Inaki sebaliknya memilih untuk mewakili Ghana di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Nico telah memberikan komitmen sepenuhnya kepada Sepanyol, membuat empat penampilan di Piala Dunia Qatar 2022.

Athletic adalah nadi bagi bangsa Basque, menyediakan pelajaran bahasa Basque untuk semua pekerja dan meraikan sejarah dan budaya Basque.

Malah individu yang tidak meminati bola sepak juga menjadikan Athletic untuk menunjukkan rasa keanggotaan dan identiti mereka.

Seorang pemandu teksi malam, menyifatkan ia umpama ‘agama’.

Dalam satu laporan BBC baru-baru ini, pemandu teksi tersebut berkata beliau menyaksikan final antara Athletic dengan Mallorca hanya beberapa jam selepas beliau menghadiri majlis perkahwinan. Apa yang menarik, pasangan mempelai juga turut serta.


“Kadangkala anda bertemu orang yang tidak begitu meminati bola sepak, tetapi mereka merupakan peminat Athletic,” jelas pemain tengah, Ander Herrera.

“Itu perkara unik di sini. Anda melihat peminat yang telah menjadi pemegang tiket musim sepanjang hidup mereka dan tidak akan menonton perlawanan lain; mereka hanya menonton Athletic.

“Di Bilbao, anda mendapati seorang wanita berusia 60 atau 70 tahun akan menghalang anda di jalanan dan mengatakan kami perlu memenangi piala dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah.”

Menjelang final Copa del Rey baru-baru ini, bandar itu dihiasi warna merah dan putih.

Bendera tergantung pada tingkap apartmen, pejabat dan bangunan majlis. Sebuah stesen metro dihiasi seperti San Mames, dengan berlatarbelakangkan peminat yang melihat pada dewan ketibaan dan perlepasan.

Kanak-kanak juga menghantar surat kepada para pemain di ibu pejabat Athletic di Istana Ibaigane apabila mereka tiba di Seville.

Di tengah-tengah bandar, berhampiran stadium, bendera berkibaran dan di kedai pengantin peragawati dilihat dalam gaun pengantin sambil memakai selendang Athletic.

Kelab itu beberapa kali menjadi pengiring pengantin sejak kejayaan Copa del Rey terakhir pada 1984.

Athletic telah melalui enam kekalahan di final, termasuk dua final dalam tempoh beberapa minggu apabila mereka menangguh final Copa del Rey 2020 menentang musuh ketat Real Socieded akibat pandemik.

PEMAIN TONGGAK

Pasangan adik-beradik itu yang bermain di bahagian sayap depan merupakan asas dalam misi kejuaraan piala.

Sejurus selepas Ghana tersingkir daripada Piala Negara-Negara Afrika, Inaki, pulang terus melalui Paris untuk tiba di Bilbao pada 11 pagi pada hari perlawanan suku akhir menentang Barcelona.

Beliau diturunkan sertai perlawanan dari bangku simpanan dan menjaringkan gol pada masa tambahan sebelum melakukan ‘assist’ (membuka laluan) bagi Nico dalam kemenangan 4-2.

Dalam kemenangan 3-0 pada separuh akhir perlawanan kedua menentang Atletico Madrid, mereka saling melakukan ‘assist’ menggembirakan San Mames.

“Dari segi bola sepak, mereka merupakan kunci pasukan,” kata Herrera.

“Tetapi dari segi peribadi, mereka adalah individu hebat, sentiasa positif, sentiasa tersenyum.

“Walaupun mereka sering bertengkar, ia sangat lucu dan kita menyukai pertengkaran adik-beradik itu.”

Apabila Athletic memenangi gelaran berturut-turut dan berganda pada 1984, ia menjadi tradisi bagi pemain untuk meraikan di atas tongkang di Sungai Nervion.

Ada yang percaya bahawa bercakap mengenainya akan membawa kesan yang buruk pada pasukan.

Gambar daripada kejayaan tersebut menunjukkan keadaan Bilbao yang berbeza, sebuah bandar perindustrian.

Kini, ia merupakan hab seni bina kontemporari yang inovatif dengan muzium Guggenheim, terletak di tebing sungai – tapak sebuah kilang dulu.

Kelab bola sepak juga menyaksikan perubahan.

Sistem belia Athletic mempunyai pemain yang ibu bapanya berpindah dari Afrika, Amerika Selatan dan sebagainya.

Pemain tengah, Junior Bita, yang dilahirkan di Ivory Coast, menyertai skuad senior pada hari perlawanan musim lalu.

Pada musim panas ini, pemain sayap, Alvaro Djalo, akan menyertai dari Braga. Beliau berketurunan Guinea dan berpindah ke Bizkaia sewaktu bayi.

“Ia hanyalah sebahagian daripada proses sejarah negara,” jelas wartawan, Benat Gutierrez.

“Negara Basque menerima ramai pendatang sebelum ini, tetapi mereka tiba dari bahagian Sepanyol yang lain, oleh itu kebanyakannya berkulit putih.

“Pendatang Afrika mula tiba pada akhir 1980-an, awal 1990-an, dan kemasukan yang lebih besar dapat dilihat pada 2000-an.

Hanya lelaki dewasa yang lebih muda belum bersedia untuk memulakan kerjaya sukan di sini.

“Ini merupakan satu proses di mana kami dapat melihat anak lelaki bahkan cucu kepada warga Basque baharu itu mula menjadi individu penting untuk Athletic.”

Dasar pemilihan pemain berketurunan Basque bermula berikutan pertikaian mengenai Athletic menggunakan pemain Inggeris dalam Copa del Rey pada 1911.

Walaupun persekutuan bola sepak Sepanyol memperkenalkan peraturan baharu pada musim berikutnya bahawa pemain mesti berasal dari Sepanyol, Athletic tetap berdegil dan ia secara tidak langsung membawa tuah kepada mereka.

Kedegilan dan pemilihan pemain daripada populasi tiga juta penduduk itu telah membuahkan hasil selama lebih seabad.

Athletic tidak pernah diturunkan dari liga teratas Sepanyol dan hanya mengekori Real Madrid dan Barcelona dari segi jumlah trofi yang dimenangi.

Pengkritik memanggilnya xenophobic atau isu perkauman. Mereka menyamakan dengan kes Miguel Jones, anak kelahiran Bilbao yang dilahirkan di Equatorial Guinea yang berlatih dengan kelab itu.


Dasar pada masa itu menetapkan pemain yang dipilih harus menjadi pemain tempatan.

Jones akhirnya dilepaskan dan sebaliknya menikmati kerjaya lebih baik di Atletico Madrid pada 1960-an.

Jones sendiri menolak dakwaan isu perkauman dan menyebut bahawa pemain kulit putih juga mengalami nasib serupa.

Sebelum kematiannya pada 2020, beliau meraikan kemunculan Inaki, sekali gus menjadikan legasi adik-beradik Williams itu memberi kesan lebih mendalam berbanding kemenangan trofi.

“Saya sangat gembira melihat bagaimana Athletic telah berkembang merentas masa,” kata Gaizka Atxa, kelahiran Mexico yang merupakan pengasas kumpulan peminat bernama Fred Pentland, sempena bekas jurulatih legenda Inggeris kelab itu.

ANAK PENDATANG DARI AFRIKA
BERPELUANG CEMERLANG
DI ATHLETIC

“Athletic adalah cerminan masyarakat kita di sini dan melihat perkembangan adik-beradik Williams, ia bermakna setiap pendatang atau anak pendatang mempunyai peluang yang baik untuk bermain untuk kelab kita.

“Itu memberi kemungkinan tentang kebolehan Athletic dalam beberapa dekad akan datang.”

Tempoh perkembangan mereka boleh menjadi topik perdebatan.

Nico, yang menyarung nama ‘Williams Jr’ di belakangnya, sangat dicari-cari, terutamanya Chelsea, di mana bapanya pernah bekerja sebagai pengoyak tiket.

Gol individu yang dijaringkan pemain berusia 21 tahun itu menentang Atletico Madrid pada Disember adalah satu daripada enam gol yang dijaringkannya dalam 29 perlawanan untuk Athletic musim ini.

Beliau juga berada di tangga kedua dalam jumlah ‘assist’ terbanyak La Liga.

“Inaki banyak membantu Nico dalam setiap perkara,” kata pengarah sukan Gonzalez.

“Nico adalah pemain yang sangat bagus, tetapi beliau sangat muda dan anda boleh bayangkan kekecohan dari kelab dan ejen.

“Tetapi Inaki adalah contoh terbaik individu yang bekerja keras.”

Peminat Athletic dengan berat hati boleh menerima apabila pemain bintang mereka pergi selagi mereka meninggalkan wang – dalam bentuk yuran perpindahan yang besar.

Sebagai contoh, Aymeric Laporte, berpindah ke Manchester City dengan harga £57 juta ($96.52 juta). Sebelum ini, kontrak Nico akan tamat pada Jun 2024, tetapi pada Disember beliau menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2027, di bawah bimbingan abangnya.

“Sudah tentu Inaki turut mengambil keputusan ini bersama keluarganya,” kata Gonzalez.

“Mereka berasa sangat baik di sini di Bilbao dan percaya dengan projek ini. Mereka sangat gembira dengan pasukan, jurulatih, dan segalanya. Mereka juga disayangi penyokong.

“Pastinya, Nico boleh menyertai kelab lain untuk bermain di Liga Juara-Juara, memperoleh lebih banyak wang atau memenangi lebih banyak kejohanan.

“Tetapi pada masa ini, perasaan beliau ialah untuk terus di sini dan Inaki adalah orang yang sangat penting untuk beliau mengambil keputusan terbaik dalam kerjaya profesionalnya.” – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >